Saturday, March 29, 2008

Pelajar Melayu perlu berdikari

Laporan yang menyatakan hampir 120,000 pelajar Melayu yang tidak dapat meneruskan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) walaupun cukup syarat, amat mengejutkan sekali.

Masalah kewangan dikatakan menjadi punca utama kepada masalah ini, lebih-lebih lagi agensi kerajaan seperti Mara kerana ia tidak lagi membiayai pendidikan para pelajar ini.

Amat malang sekali kerana jumlah pelajar yang cukup syarat tetapi tidak dapat meneruskan pengajian, amat ramai sekali. Namun para pelajar ini tidak harus bergantung kepada kerajaan melalui Mara untuk membiayai mereka ke IPTA.

Seperti yang kita sedia maklum, terdapat begitu banyak Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang dapat memberi peluang kepada para pelajar ini dan apa yang menjadi masalah ialah sumber kewangan.

Laporan ini mendedahkan bahawa masih ramai lagi di kalangan orang Melayu yang masih lagi bergantung kepada kerajaan dalam mengharapkan pembiayaan pengajian mereka, sedangkan pelajar bukan Melayu lebih ramai memenuhi kolej-kolej swasta.

Ini menunjukkan mereka tidak bergantung kepada kerajaan untuk membiayai pengajian mereka dan mereka mencari sendiri sumber kewangan untuk melanjutkan pelajaran seperti melalui pinjaman bank, keluarga dan insurans pendidikan.

Sedangkan semua ini begitu asing sekali di kalangan masyarakat Melayu dan pelajar Melayu itu sendiri yang terus mengharapkan segala-galanya akan dibiayai oleh kerajaan melalui Mara dan PTPTN.

Keengganan pihak Mara untuk tidak membiayai para pelajar ini, tidak boleh dipersalahkan kepada para pelajar yang enggan membayar kembali pinjaman itu semata-mata, tetapi pihak Mara juga perlu dipersalahkan kerana bersikap tidak serius dalam mendapatkan semula pinjaman.

Kenapa Mara dan PTPTN membiarkan tunggakan pinjaman pelajar begitu lama tidak dibayar balik yang membabitkan jumlah yang begitu tinggi, sedangkan kita melihat institusi kewangan seperti bank, akan memburu peminjamnya sehingga wang pinjamannya dibayar balik walaupun dengan apa cara sekali pun.

Lebih malang lagi, orang Melayu, terutama golongan pelajar, sanggup menghabiskan wang yang diperolehi, terutama pinjaman pelajaran untuk tujuan yang tidak berfaedah, seperti lebih gemar berpakaian mengikut perkembangan fesyen terkini yang memerlukan belanja besar, SMS untuk program hiburan berbentuk realiti, menukar telefon bimbit mengikut model terkini, membeli motosikal atau kereta berbanding menjimatkan wang untuk digunakan bagi membiayai pendidikan sahaja.

Apakah tanpa pembiayaan Mara dan PTPTN, maka pelajar ini tidak dapat mencari sumber lain untuk meneruskan pendidikan mereka sedangkan pelajar kaum lain dapat meneruskan pendidikan tanpa bantuan kerajaan dan agensi kerajaan berkaitan.

Keadaan ini lebih membimbangkan lagi apabila 120,000 pelajar ini dijangka berdepan dengan pelbagai situasi seperti terbiar, menganggur dan tiada hala-tuju serta menyebabkan mereka tersingkir daripada arus perdana pendidikan negara.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berpandangan, kita kini hidup dalam dunia yang penuh dengan krisis – krisis yang melibatkan ekonomi, pekerjaan, sumber-sumber, alam sekitar, cara hidup, cara berfikir dan cara kita sebagai individu bersama atau terpisah dari masyarakat.

Kebolehan menulis dan membaca secara amnya sepatutnya mendatangkan satu zaman baru dalam tamadun manusia. Pendidikan hari ini sepatutnya melahirkan masyarakat lebih baik, meletakkan manusia di luar kejahilan dan ketakutan serta menukarkan kita menjadi makhluk yang berfikiran waras dan berpengetahuan.

Dengan jumlah pelajar Melayu yang tercicir begitu besar bilangannya kini telah menimbulkan persoalan kepada kita bahawa adakah pendidikan yang semakin bertambah ini dapat menjamin kualiti hidup yang lebih baik?

Kita harus membentuk satu sistem pendidikan yang boleh menyatukan kita dalam masyarakat, melahirkan manusia yang mengambil berat dan sentiasa berkongsi dan menyumbangkan kemahiran, bakat dan daya kreativiti untuk kebaikan semua orang.

oleh: SM Mohamed Idris
Penulis adalah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.
Sumber: Malaysia Kini

No comments:

My Blog List

Maps

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

BlogCatalog

Diet & Nutrition Blogs - BlogCatalog Blog Directory